Tuesday, 21 December 2010

Pertemuan Dengan Persatuan Peniaga Pasar



Pada hari Ahad yang lalu Jawatankuasa Penduduk JKP Zon 3 dengan kerjasama MPS telah mengadakan pertemuan dengan 3 persatuan peniaga pasar Selayang Baru.

Pihak persatuan diterangkan oleh En. Khairy dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berkenaan berkenaan status Pasar Segar dan cadangan penyusunan semula pasar yang sedia ada.

Kursus Kefahaman Islam


Tahniah kepada JK Masjid At-Taqwa kerana telah berjaya mengadakan dhaurah penghayatan Islam sepanjang cuti sekolah ini. Seramai hampir 200 kanak-kanak dan remaja telah mengikuti program ini.

Sunday, 5 December 2010

Rangkaian Peristiwa









Bermandi Air Asid

5hb. Disember tarikh keramat yang sukar dilupakan. Saya bermandi asid dan hampir dicekup oleh pihak polis FRU dalam demontrasi penyerahan memorandum isu air kepada Yang DiPertuan Agong.

Majlis Berkhatan Sri Kundang

Pada pagi Ahad 5hb. Disember 2010 seramai 59 kanak-kanak telah menjalani program berkhatan di Kg. Melayu Sri Kundang.

Program telah dirasmikan oleh YB William Leong. Turut hadir adalah Tn. Hj. Mahad (Penghulu), Dr. Badrul Amin (Urusetia Penerangan Selangor), Tn. Rahim (Penyelaras PKM DUN Kuang) dan beberapa pimpinan masyarakat yang lain.


Kajian Keboleh-percayaan dan Kepuasan kepda MPS dan ahli Majlis

Pada hari Sabtu 4hb. Disember 2010, saya bersama-sama 250 orang telah menjalankan kajiselidik terhadap kepuasan dan penerimaan terhadap perkhidmatan MPS dalam DUN Templer.

Hasil kajian menunjukan pembayar cukai memberikan kredit kepada MPS bagi perkhidmatan sampah, rumpu dan jalanraya. Tetapi agak kurang memuaskan bagi perkhidmatan pembersihan longkang.

Sementara Pusat Khidmat Masyarakat, ahli-ahli majlis dan JKP tidak dikenali oleh masyarakat DUN Templer, Zon 3 tempat saya berkhidmat pula menunjukan penduduk agak mengenali saya.

Sesuatu harus dibuat oleh ketiga-tiga jawatan politik ini bagi memastikan kemenangan dalam PRU 13 nanti.


Tindakan Terhadap Aduan

Semasa mesyuarat aduan saya telah senaraikan 43 aduan-aduan rakyat yang saya terima. Saya juga rekodkan jabatan yang terlibat dan status tindakan. Dari jumlah itu hanya 5 tindakan yang telah dilakukan oleh MPS.

Saya peringatkan MPS bahawa kecekapan MPS sedang diperhati oleh pembayar cukai dan sebagai ahli majlis saya akan dedahkan kelembapan ini. Saya memberi tempoh sehingga akhir December untuk MPS memberi maklum terhadap aduan saya.

Sebagai respons dari aduan dan permintaan saya, En. Zain dari Jabatan PRO telah mengatur perbincangan dan lawatan tapak pada hari Jumaat yang lalu.

AlhamduliLLAH hampir 60% isu yang saya adukan diambil tindakan segera oleh MPS


Baik Pulih Hentian Bas Bernilai RM20,000.00

Semasa mesyuarat penuh ahli majlis MPS kami dimaklumkan bahawa kerajaan pusat telah membaik pulih sebanyak 61 unit hentian-hentian bas dalam kawasan MPS. Syarat utama mestilah diletakan logo 1Malaysia!

Peruntukan yang gunakan adalah RM1.2juta. Dengan kata lain kos baik pulih seunit hentian bas adalah RM20,000.00

Apa yang dibaik-pulih. Mengecat semula, memasang tiles, menyediakan takungan sampah. Ada juga yang disediakan lampu dengan menggunakan tenaga solar 1kaki persegi....

Ia nya tak lebih dari RM7,000.00! Bakinya? untuk kronilah.... inilah pembaziran wang rakyat oleh kerajaan pusat.

Thursday, 25 November 2010

5hb. Disember Tarikh Keramat

Pada July 2006, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA), 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 telah diperkenalkan dan diluluskan oleh Parlimen bertujuan menstruktur semula pengurusan air dan menguatkuasakan pengurusaan industri air bagi seluruh Malaysia dengan diletakkan sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan. Dengan kata lain berlaku pemilikan semula industri air sekaligus pengakuan bahawa penswastaan air telah gagal dan keajaan akan membuat ‘bailout mega’ kepada konsesi air.

SPAN sebagai badan mengawal-atur, memantau dan mengawalselia perkhidmatan air, bertanggungjawab menguatkuasa undang-undang berhubungan dengan perkhidmatan air dan pembentungan. Peranan utama SPAN adalah untuk mengeluarkan lesen dan menasihat Menteri dalam urusan penetapan tarif dan mekanisme berkesan untuk perlaksanaan tarif.
WSIA melalui sebuah syarikat pengurusan airnya Perkhidmatan Aset Air Berhad, PAAB akan memiliki kembali seluruh (membeli) aset-aset pihak swasta and negeri (pembentungan, loji rawatan dll) dan kemudian menyewakannya atau memajaknya kembali kepada pihak negeri atau syarikat swasta dan diberi lesen untuk mengendali seluruh pengurusan industri air termasuk pengagihan pembekalan air di negeri-negeri.

Kesemua asset-aset air di Semenanjung Malaysia akan dipindah-milik kepada PAAB sebelum hujung tahun 2009 dengan anggaran pembelian semula oleh kerajaan dengan harga RM15bn. Aset-aset air dipajak atau disewa (lease) kepada syarikat swasta dan kerajaan negeri yang akan diberikan lesen untuk beroperasi. PAAB juga bertangungjawab untuk membantu mendapatkan dana kepada pihak yang mengoperasikan industri air khususnya bagi membiayai perbelanjaan capital (capex).

Sehingga dewasa ini, PAAB telah mencapai dua pengambilalihan asset dan melesen dua kerajaan negeri iaitu Melaka dan Negeri Sembilan dengan jumlah pembelian RM2.1bn.
Dengan dua negeri (2) yang telah ditawan, PAAB punya sembilan (9) lagi yang perlu dilakukan perundingan dan pengambilalihan.

Namun berdepan dengan situasi di Selangor, ia jelasnya tidak semudah dengan 2 negeri di bawah BN. Apakah kerana Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) ataukah banyak lagi perkara yang rakyat dan umum tidak tahu atau lebih tepat lagi tidak mahu diberitahu? Penulisan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada rakyat banyak perkara yang tidak dilaporkan oleh media kawalan BN.

Penswastaan air Selangor bermula pada tahun 1996 di bawah Pemerintahan Tun Mahathir. Konsesi yang cukup mewah (profitable) dianugerahkan kepada pihak yang punya hubungan rapat dengan kuasa Eksekutif (di baca kroni) tetapi tidak punya kepakaran jauh lagi mempunyai trak rekod yang baik tentang pengendalain industri.

Akibatnya 1.5 juta rakyat di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya menghadapi pelbagai masalah termasuk kualiti air, kelewatan mendapat perkhidmatan yang, denda penyambungan yang tinggi (RM50 selepas berbanding RM10 sebelum penswastaan) serta tariff yang tinggi. Pemilik konsesi air turut mendapat pinjaman dan geran dari kerajaan.

Kini, 4 pemilik konsesi menghadapi kekurangan aliran tunai dan menanggung hutang sejumlah RM6.4 bn; Syabas sebanyak RM2.9 bn, Puncak Niaga RM1.3 bn, Splash sebanyak RM1.6 bn dan ABASS masih berhutang sebanyak RM600 juta. Justeru itu, sukar untuk ditolak dakwaan bahawa setelah kerajaan memberikan konsesi yang lumayan dalam pusingan pertama dulu semasa penswastaan, kini kerajaan akan lakukan sekali lagi ’pemberian mewah’ kepada ’kroni mereka’ dalam pusingan kedua penstrukturan industri air.

Inilah amalan urus-tadbir korporat yang sangat berat sebelah sekaligus merosakkan pengurusan khazanah negara, di mana keuntungan diswastakan sementara kerugian dihakmilikkan negara dan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.
Bagi mengingatkan proses penstrukturan semula air di Selangor, Kerajaan Pusat telah mengizinkan Kerajaan Selangor bagi memulakan proses perundingan pembelian semula asset-aset air milik 4 konsesi air di Selangor yang kemudianya akan dikonsolidasi untuk dijual kepada PAAB. Aset-aset ini akan dibeli atas dasar jual-beli yang saling redha (willing-buyer-willing seller).

Sebuah Panel Perunding telah ditubuhkan oleh kerajaan Selangor bagi tujuan membuat penaksiran seluruh asset-aset air pemegang 4 konsesi air (valuation of assets). Satu tawaran berjumlah RM5.7bn telah dimajukan kepada kesemua pemilik konsesi pada 13 hb Februari, 2009. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) ditawar RM2.0 bn. PuncakNiaga Holdings’s melalui syarikatnya PNSB dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang dimilikki 70% ditawarkan sejumlah RM3.1bn. Selebihnya adalah bayaran kepada Konsortium ABASS Sdn Bhd. Kerajaan Selangor sendiri memilikki lebih dari 80 peratus asset-aset air di Selangor.

Kerajaan Selangor meyakini bahawa tawaran tersebut adalah menasabah dan mengambil kira segala terma dan syarat perjanjian konsesi dahulu. Tawaran perolehan dibuat kerajaan negeri ini telah mengikut satu metodologi penilaian berdasarkan nilai asset (asset value) tolak segala penyusutan nilai (depreciation) sehingga tarikh Disember 2007.

Umum perlu dimaklum bahawa Kerajaan Selangor terkejut dengan tawaran balas yang memintas usaha mereka, apabila SPAN melalui PAAB ingin memulakan perundingan langsung dengan pihak konsesi air pada tarikh 18hb Februari. Lebih malang lagi kerajaan negeri dimaklumkan bahawa jumlah harga yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Pusat dikatakan adalah sebanyak RM21bn.

Apakah keseluruhan penstrukturan ini akan meletakkan akhirnya rakyat dan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terbeban dengan tariff yang tinggi nanti? Rakyat Pulau Pinang kini di kenakan tariff sebanyak RM0.37 setiap meter kubik sementara di Selangor pengguna di kenakan RM0.77 setiap meter bubik. Kerajaan Selangor berazam untuk menurunkan tariff ini sebanyak 10% tahun 2009 kepada RM0.69 dan seterusnya 20% dalam tahun 2011 dan 25% dalam tahun 2013. Dasar membekalkan air percuma 20 meter kubik akan diteruskan.

Apakah Kerajaan Persekutuan akhirnya akan memberikan lesen kepada pihak swasta, samada Syabas atau Puncak Niaga untuk mengurus seluruh industri air di Selangor ini? Apakah Kerajaan Selangor akan dipinggirkan?

Apakah penstrukturan semula air ini akan menyaksikan rakyat terus dibeban dengan tariff yang tinggi dan bayaran yang mewah diberikan kepada konsesi yang dulunya telah pun mendapat laba yang besar?

Apakah ini caranya supaya Puncak atau Syabas dapat membayar CEOnya dengan gaji berjumlah RM5.1juta setahun atau RM700,000 sebulan seperti yang didedahkan oleh media baru-baru ini?

Apakah ini caranya Kerajaan Umno/BN mahu ’menghukum’ segala salahlaku Syabas dengan segala kemungkiran seperti melakukan lebih dari 70% tender mereka secara tidak tender terbuka, berlawanan dengan perjanjian konsesi, percanggahan nilai kontrak sebanyak RM325 juta semasa pengauditan, pengubahsuaian melebihi had sebanyak RM23.2 juta dari yang dipersetujui kerajaan Pusat?

Cukuplah dengan penswastaan air yang gagal pada pusingan yang pertama, seperti kegagalan penswastaan IWK, MAS Putra-Star LRT dll. Namun seandainya Kerajaan Pusat mahu juga meneruskan urus-tadbir buruk ini dan meneruskan pendirian untuk ‘menghadiahkan’ pihak swasta lesen mengurus air di Selangor ini, maka tunggulah datang masanya apabila rakyat pula akan membuat hukuman muktamad seperti yang disaksikan dalam tsunami politik yang melanda mereka dan seterusnya pada P/raya kecil di Permatang Pauh, di Kuala Terengganu dan sedikit waktu lagi di 3 Bukit Pertarungan!

Akhirnya rakyat akan menghukum mereka di PRU ke-13 secara pukulan maut!

Dr Dzulkefly Ahmad,
MP Kuala Selangor dan Ahli Panel Review Air Selangor. | |

Wednesday, 24 November 2010

Isu Air

Rakyat, Bukan Syarikat Konsesi, Akan Untung Jika Kerajaan Selangor Ambil Alih Pengurusan Air

SHAH ALAM: Matlamat utama hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam mengambilalih pengurusan industri air negeri adalah amat jelas iaitu memberi perkhidmatan yang lebih efisyen dengan harga yang rendah disamping meneruskan perkhidmatan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama.

Pendirian ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Dato Menteri Besar Selangor yang juga telah menerangkan berulang kali bahawa Kerajaan Negeri bersedia mengambil-alih aset air dari semua empat syarikat konsesi air dengan harga yang munasabah dan menguntung kedua-dua pihak iaitu rakyat dan syarikat-syarikat yang berkenaan.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang menuduh Kerajaan Negeri Selangor hanya ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan masa depan rakyat jelas amat dangkal dan menunjukkan pemikiran yang cetek.

Jika ADUN Batang Kali mengikuti penerangan isu penstrukturan semula air dengan lebih teliti, beliau akan tahu bahawa jika Kerajaan Negeri mengurus perkhidmatan air di Selangor, tarif air akan dapat diturunkan sebanyak 10% dalam tahun 2009 dan 20% pada tahun 2011 seterusnya sebanyak 25% pada tahun 2013.

Jika adapun pihak yang mengaut keuntungan, ianya adalah rakyat dan bukan individu-individu atau syarikat swasta seperti mana yang berlaku sekarang.

Namun yang jelas sekarang, pendapat pemimpin UMNO dalam isu air ini amat konsisten iaitu menyebelahi syarikat konsesi. Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan bahawa tawaran harga kepada syarikat konsesi ini tidak munasabah.

Pendirian Najib dalam isu ini juga tidak menggambarkan konsep “1 Malaysia” yang dikatakan sebagai satu konsep menyeru kepada rakyat bersatu membangun Malaysia. Mengapa Najib tidak bersatu bersama Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan usaha supaya rakyat mendapat keuntungan dari perkhidmatan air?

Kami menyeru kepada Perdana Menteri dan semua pemimpin UMNO untuk mengenepikan kepentingan politik dan bersama pihak Kerajaan Negeri dalam isu ini demi kebajikan penduduk Negeri Selangor sejajar dengan laungannya untuk konsep “1 Malaysia”. Jika tidak, konsep “1 Malaysia” ini jelas hanya sekadar retorik semata-mata bagi meraih sokongan rakyat kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.


NIK NAZMI NIK AHMAD
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Wednesday, 17 November 2010

Prihatin nasib keluarga malang



Prihatin nasib keluarga malang

SELAYANG BARU – Keperitan hidup membesarkan lima anak berbekalkan RM700 sebulan hasil pendapatan suami yang bekerja sebagai mekanik menguji ketabahan seorang suri rumah.

Sahrulbariah Aziz, 32, berkata, kehidupan keluarganya juga berdepan kesempitan memandangkan pendapatan suaminya itu tidak menentu dan pernah langsung tidak bergaji kerana ketiadaan pelanggan.

“Bayaran rumah sewa RM280 sebulan, belum termasuk belanja anak dan tambang bas ke sekolah. Anak saya berumur antara lima hingga 11 tahun,” katanya semasa pertemuan bersama Sinar Harian, di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selayang Baru, di sini.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 3, Dr Abdul Majid Hasan, Pengerusi JKKK Selayang Baru, Mohd Dzulkifly Abdul Hamid dan Pengerusi JKKK Kampung Mahkota, Zainal Abidin Ahmad Desa.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor, Norliza Namin.

Dalam pada itu, menurut Sahrulbariah yang menetap di Apartmen Julia, Kampung Bendahara, selain ibu, dia perlu membesarkan dua lagi anak angkat berusia tujuh dan 14 tahun, menggunakan pendapatan terhad ada.

Katanya, dia paling mengharapkan bantuan sama disambung semula bagi meringankan beban kerana buat masa ini bayaran penyelenggaraan rumah sebanyak RM20 sebulan antara tertunggak kerana menghadapi masalah kewangan sejak beberapa bulan lalu.

“Sumber kewangan terhad juga digunakan menampung makan dan minum anak angkat saya yang juga anak yatim,” katanya.

Sahrulbariah berkata, nasi goreng menjadi hidangan rutin keluarganya dalam usaha menjimatkan perbelanjaan harian.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Noraini Abdul Rahman, 47, yang berpendapatan RM50 sehari mengharapkan usahanya menjalan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi lemak mampu menampung perbelanjaan enam anaknya masih bersekolah.

“Enam anak saya masih bersekolah berumur enam, sembilan, 12, 14, 15 dan 17 tahun. Wang berniaga nasi lemak itulah digunakan untuk belanja sekolah anak dan perbelanjaan mereka.

“Wang itu juga perlu membayar bil air dan elektrik selain, bayaran beli rumah diduduki sekarang iaitu RM126 sebulan,” katanya.

Noraini berkata, dia juga mengambil upah memperbaiki seluar jeans dan pakaian, secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

Seorang lagi ibu tunggal, Fauziah Yusof, 53, dari Kampung Cempedak, Kuang pula berkata, pendapatannya sebagi pengasuh kanak-kanak di rumah sendiri kira-kira RM400 sebulan juga terhad untuk menampung kehidupan.

Katanya, walaupun mempunyai tiga anak sudah tamat persekolahan, tetapi ada antaranya baru bekerja, malahan gaji bulanan perlu digunakan untuk menampung keperluan sendiri.

Bagi warga emas, Saadiah Ahmad, 60, juga dari Kuang, pendapatan tidak daripada upah menjahit secara kecil-kecilan digunakan untuk menampung kehidupannya .

Mempunyai dua anak, katanya, pendapatan menjahit diperolehnya tidak menentu sekitar RM300 sebulan, manakala anak pula perlu menampung kehidupan sendiri.