Tarikh : December 25, 2011
                              SELAYANG BARU – Seorang peniaga kerugian kira-kira RM110,000 apabila  gerai miliknya didakwa dirobohkan tanpa notis, walaupun rayuan  permohonan menangguhkan perkara dibuat mengikut undang-undang.
 
 Tee Guat Eng, 64, berkata, rayuan permohonan itu dibuat sebaik sahaja  permit sementara diluluskan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula 29  Ogos lalu, dibatalkan selepas tiga hari berniaga di tapak gerai Jalan  6, di sini.
 
 Katanya, permit itu yang sepatutnya tamat tiga bulan kemudian,  dibatalkan dengan alasan kawasan itu akan dijadikan taman rekreasi bagi  penduduk di situ.
 
 “Sudah empat bulan tunggu, tetapi sehingga hari ini (semalam), saya  tidak terima jawapan daripada MPS atau Pejabat Daerah dan Tanah Gombak  (PTDG) berhubung rayuan berkenaan, tiba-tiba tapak gerai buah-buahan dan  makanan milik saya bersama anak-anak, dirobohkan.
 
 “Sebelum gerai dirobohkan, saya juga minta tempoh masa dua hari  daripada Ahli Parlimen Selayang, William Leong, untuk membuka khemah  sendiri bagi mengelak peralatan rosak, tetapi permintaan ditolak,”  katanya.
 
 Ibu tunggal sembilan anak itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Selayang.
 
 Kira-kira 26 penduduk di sini turut mengadakan demonstrasi sebagai tanda sokongan kepada Guat Eng.
 
 Sementara itu, Ahli MPS, Abdul Majid Hasan berkata, MPS tidak  merobohkan gerai itu, sebaliknya dilakukan pejabat daerah atas arahan  Leong.
 
 Abdul Majid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Penduduk (JKP)  Zon 3 Selayang, mendakwa, isu roboh gerai itu dikaitkan campur tangan  politik dalam pengurusan pihak berkuasa tempatan itu.
 
 “Masalah bina gerai sementara itu tiada isu kerana bersifat sementara  saja. Pembinaan taman rekreasi di tapak kawasan ini masalah utama kerana  hasil mesyuarat MPS dengan beberapa jabatan kerajaan lain baru-baru  ini, kami putuskan bahawa ia hanya akan dibina selepas Jabatan Pengairan  dan Saliran Daerah Gombak selesai jalankan kerja penyediaan tangki  banjir di sini.
 
 “Jabatan Pengairan sendiri pun belum kenal pasti lokasi dan reka bentuk  tangki banjir yang ingin dibina. Ia perlukan kos tinggi, tetapi  difahamkan, Jabatan Pengairan masih belum pohon bajet dari Kerajaan  Negeri. Apa salahnya jika tapak ini digunakan sementara itu berniaga?,”  katanya.
 
 Sementara itu, Willian Leong mengesahkan mengarahkan Pejabat Daerah dan  Tanah Gombak merobohkan khemah berkenaan kerana tidak mengikut  peraturan.
 
 Bagaimanapun, beliau menyangkal dakwaan menyatakan notis berhubung isu  roboh gerai itu tidak diberikan dan menafikan pembatalan permit itu  adalah serta merta selepas notis pertama diberikan.
 
 “Mengikut peraturan, pemegang permit sementara hanya dibenarkan membuka  gerai menggunakan meja lipat atau beroda dan payung, tetapi peniaga ini  buka khemah beroda serta ada tempat makan, ini sudah langgar peraturan  sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
No comments:
Post a Comment