Monday 19 July 2010

JKKK persoal struktur binaan



SELAYANG INDAH – Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selayang Indah di sini berharap pihak berkenaan dapat memantau kerja pembinaan struktur bangunan kekal dalam kawasan tanah rizab.

Pengerusinya, Masrom Kapil berkata, sejak dua bulan lalu terdapat kerja pembinaan yang dimulakan berhadapan Dewan Orang Ramai, Kampung Selayang Indah.

Menurutnya, bagaimanapun hasil semakan pihaknya mendapati kawasan dekat Pasar Borong Selayang itu terletak dalam tanah Sijil Menduduki Sementara (TOL), selain sebahagiannya memasuki rizab jalan dan longkang.

“Tanah berkenaan pada asalnya digunakan sebagai tempat nurseri pokok. Tetapi kini pihak berkenaan seperti hendak membina bangunan kekal yang setahu kita belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Kami harap pihak bertanggungjawab buat pantauan kerana selain memasuki tanah rizab, struktur didirikan juga boleh menyebabkan lebih banyak kemalangan berlaku kerana kedudukannya yang dekat dengan selekoh,” katanya.

Masrom berkata demikian kepada Sinar Harian semasa perbincangan berkaitan dengan sebahagian jawatankuasa JKKK Selayang Indah, di dewan orang ramai di sini.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya dimaklumkan bahawa pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pernah mengambil tindakan kompaun terhadap pembinaan struktur bangunan itu. “Untuk pengetahuan, kita memang langsung tidak dimaklumkan mengenai pembinaan struktur bangunan ini dan kita tidak tahu ia didirikan untuk apa.

“Jadi, kami ingin menafikan memberikan kebenaran untuk mendirikan bangunan. Malah bekas ahli majlis MPS, Datuk Mazlan Hassan sebelum ini pun telah memanjangkan aduan kepada MPS,” katanya.

Masrom berkata, bagaimanapun pembinaan tetap dijalankan, malah pihaknya mendapati pagar pengadang jalan selekoh simpang berkenaan juga dibuka.

Menurutnya, jika bangunan berkenaan tiada kebenaran, sepatutnya MPS harus mengambil tindakan roboh sebelum bangunan binaan itu siap sepenuhnya.

“Sebenarnya simpang berkenaan selalu berlaku kemalangan. Sebelum ini kita cadangkan supaya kawasan itu dijadikan tempat letak kereta sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Azmi Ismail ketika meninjau ke tapak dimaksudkan, Jumaat lalu, tidak menafikan pihaknya pernah mengeluarkan kompaun kerana bangunan didirikan tanpa kebenaran.

Tinjauan ke tapak dimaksudkan mendapati terdapat notis di zink pengadang pembinaan mengenai Cagaran Pelan Bangunan dibayar sebanyak RM1,000, bertarikh 2 Julai 2010 kepada pihak MPS.

Keterangan notis ditampal menyebut Cagaran Pelan Bangunan bagi permohonan permit tahunan sementara untuk membina satu unit bangunan satu tingkat (semaian bunga) atas tanah kerajaan, Jalan Besar Selayang Indah.

Sementara Yuran Proses Pelan RM200 dibayar, namun notis turut menyebut notis ini bukan satu kelulusan.

No comments:

Post a Comment