Beliau  diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay  Abdullah yang  melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul  kira-kira pukul 4.15 petang tadi,
Ulama  terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam  yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan  seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam  hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak  yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.
“Sekiranya  gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman  qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Bagaimanapun,  sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk  antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam  hukum Islam.
Tambah  beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui  prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu  mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak  fasik dan membuat dosa-dosa besar.
Sekiranya  tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan  memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.
“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.
“Kalau  tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan  perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil  untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes  itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.
“Tetapi  ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau  kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang  dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh  iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.
“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.
Tambah  beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi  sebarang ke atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah  semakin mengelirukan umat Islam.
“Ia  tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan  menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada  masyarakat.
“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.
“Kalau  sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah  dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.
Beliau  mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh  isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam  surah An Nur, ayat 6.
“Rasulullah  kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat  saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa  melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya.





