|     KUALA LUMPUR, 27 Jun:  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dibentuk oleh  kerajaan sendiri menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan  aman Bersih 2.0 yang dirancang 9 Julai ini.
  Bagi Suhakam, orang  ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara  aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan  Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
  Semikian  kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya di  tengah-tengah usaha yang dibuat oleh Umno dan alat-alatnya untuk  membatalkan perhimpunan itu.
  Antaranya adalah dengan berusaha  agar perhimpunan itu menjadi kecoh dengan cara menganjurkan perhimpunan  serentak serta membuat provokosi melalui badan-badan bukan kerajaan  termasuk persatuan silat dan bela diri.
  Usaha pihak-pihak yang  menyokong perhimpunan Bersih 2.0 juga mendapat tentangan hebat dari  polis sehingga mereka yang memakai baju T Bersih juga ditangkap dan  disifatkan sebagai satu kesalahan.
  Penganjuran majlis pra  perhimpunan Bersih juga disekat oleh polis dengan ramai antara mereka  ditangkap dan dikaitkan dengan kesalahan yang bukan-bukan termasuk cuba  menghidupkan ideologi komunis yang sudah lama berkubur.
  Berikut adalah kenyataan penuh dari Hasmy Agam.
 
  "Suruhanjaya  Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merujuk kepada perhimpunan aman  yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang  bakal diadakan pada  9 Julai 2011, dan juga perhimpunan-perhimpunan yang  dilaporkan dirancang oleh Pemuda UMNO dan Perkasa, dan mengulangi  pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan  menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam  Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1)  Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
  "Suruhanjaya mengulangi  syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada Kerajaan untuk  menghormati kebebasan berhimpun, seperti yang terkandung dalam, antara  lain, Laporan Tahunannya kepada Parlimen, serta permintaan bagi  pemansuhan sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C),  (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967, dan mengesyorkan  agar pihak Polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan  sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan  orang ramai semasa perhimpunan.
  "Suruhanjaya menyeru pihak  berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan  kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar  melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab.  Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya. "
  | 
No comments:
Post a Comment