Walaupun  hasrat untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku  Mizan Zainal Abidin dihalang oleh ribuan polis bersenjata automatik di  laluan ke Istana Negara, BERSIH 2.0 berjaya menyemat keperluan untuk  pembaharuan proses pilihan raya disanubari kita semua.Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan lebih 100,000 rakyat menyertai BERSIH 2.0 walaupun terpaksa menongkah pelbagai kezaliman polis dan pemerintah.
Secara ringkas berikut adalah “harga” yang terpaksa dibayar oleh pendokong Bersih :
- 1,667 orang ditahan termasuk Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasanya Maria Chin Abdullah. Lebih 250 yang lain ditangkap sebelum ini, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat.
 
Ketua  Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditembak gas pemedih mata dan  mengalami kecederaan di kepala dan kaki. Beliau menerima rawatan di  Hospital Pantai. Anaknya Nurul Iman dan Hana ditahan manakala pengawal  Anwar dikasari.
- Turut cedera ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.
 
- Kepimpinan utama PAS turut diberkas termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu serta dua naib presidennya, Sallehuddin Ayob dan Datuk Mahfuz Omar.
 
- Ahli parlimen yang ditahan termasuk Tian Chua, RSivarasa, Azmin Ali, Fuziah Salleh (PKR) dan Ngeh Ko Ham (DAP).
 
Harga murah
Namun harga itu dianggap “murah” berbanding dengan mesej tajam yang dihantar oleh Himpunan BERSIH 2.0.
Perkara  paling memberangsangkan adalah hakikat bahawa ratusan ribu orang yang  turun padang menyertai BERSIH merangkumi pelbagai kaum, khususnya  Melayu, Cina dan India, menjadikan BERSIH sebuah gerakan rakyat dalam  erti kata sebenarnya.
Kehadiran mereka membuktikan  “kuasa rakyat”  masih kuat membara di negara ini dan tidak mungkin  ditenggelamkan dengan provokasi dan kekerasan polis serta pemerintah,  walau sehebat manapun.
“Kebenaran akan sentiasa  mengatasi kekejaman,” kata Ambiga, sejurus sebelum beliau ditangkap oleh  polis dan dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui.
Beberapa “adegan-adegan”  BERSIH 2.0 akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara ini.
Contohnya:  ribuan rakyat berbilang kaum bersilang tangan,  membentuk saf  berjalan  walaupun disekat polis yang menembak air bercampur kimia dan gas  pemedih mata di Jalan Pudu.
Begitu juga dengan rakyat  yang menyanyi 'Negaraku' di Stadium Merdeka bagi meraikan kejayaan  melepasi sekatan jalan dan kekerasan polis. 
Imej-imej  anggota polis yang bergerak secara berkumpulan, memukul, memijak  rakyatnya sendiri sebelum mengheret mereka ke lokap juga akan terpahat  dalam ingatan.
Pancutan  air berkimia dan bau gas pemedih mata pula akan menandakan 9 Julai 2011  sebagai hari di mana aparatus pemerintah diguna untuk menghalang rakyat  berjalan aman ke sebuah lokasi untuk menzahirkan keperluan diadakan  pilihanraya adil dan telus.
BERSIH 2.0 berjaya membongkarkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin utama negara ini.
Wajah sebenar Najib
Sebuah  gerakan yang aman, ditunjangi oleh pemimpin masyarakat madani menjadi  mangsa serangan pemerintah dengan ribuan orang ditangkap hanya kerana  memakai baju berwarna kuning atau berjalan secara berkumpulan.
Wajah  sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdedah apabila beliau  sendiri mengikut rentak PERKASA, mengeluarkan kenyataan berbaur  perkauman terhadap Ambiga. 
Media arus perdana dan  khutbah Jumaat di masjid dipergunakan untuk melabelkan BERSIH  sebagai  kumpulan pelampau, berfahaman komunis dan mahu menggulingkan kerajaan  menerusi kekerasan.
Apabila Yang di-Pertuan Agong  memberi petunjuk jelas supaya kerajaan dan BERSIH berdialog,  Najib  bertindak dengan menegaskan BERSIH adalah sebuah pertubuhan yang  diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri .
Justeru, Najib mendakwa BERSIH tidak layak memohon permit untuk menganjurkan perhimpunan itu di stadium.  
BERSIH 2.0 menunjukkan  Najib dan Umno pimpinannya sebagai orang yang tidak teragak-agak membelakangi institusi Raja.  
Negara diktator
Najib  bukan sahaja bersifat rasis tetapi juga  tidak langsung melihat  keperluan merombak proses pilihan raya negara ini yang banyak  menguntungkan pemerintah selama ini.
Perdana Menteri  dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein juga mempamerkan  kesanggupan luar biasa menggunakan polis untuk menangkap orang awam di  atas sebab-sebab dangkal yang mirip sebuah negara diktaktor.
Walaupun  mencanang dirinya  sebagai adil dan berjiwa rakyat, BERSIH membuktikan  Najib tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa eksekutifnya  untuk  menumpaskan sesiapa  yang dianggap sebagai musuh politik Umno.
Dalam  konteks Himpunan BERSIH, beliau melihat tokoh-tokoh seperti  Sasterawan  Negara Datuk A Samad Said, Ambiga dan Presiden Jamah Islah Malaysia  Zaid Kamaruddin sebagai musuh politiknya.
Semua  mereka adalah aktivis berhemah tinggi, mempunyai kewibawaan  dan  keikhlasan mendokong agenda murni iaitu berjuang untuk proses  pilihanraya yang lebih baik. 
Kenapa agenda begitu digeruni oleh Umno dan Najib?
Inilah  persoalan yang berlegar di minda rakyat sebelum dan pada 9 Julai , dan  terus akan berlegar  pada hari-hari menjelang pilihan raya umum ke 13.
Kebingkasan  kerajaan mengeluarkan segala senjata yang ada padanya (media, khutbah  jumaat, polis, mahkamah, pendaftar pertubuhan,) untuk menumpaskan BERSIH  2.0 menimbulkan banyak tanda tanya mengenai kepemimpinan Najib,  khususnya bersabit  keikhlasan beliau.
Kesetiaan kepada Raja?
Episod  BERSIH telah menawarkan Najib ruang yang cukup luas untuk mendokong  sebuah agenda rakyat yang mustahak dan pada masa sama menzahirkan  kesetiaan beliau kepada Istana Negara.
Namun  semua ini ditempelak oleh Perdana Menteri dalam keghairahan untuk  memastikan kelangsungan penguasaan penuh kerajaan ke atas insitutusi  seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan badan kehakiman kekal  berterusan.
Perhimpunan aman BERSIH  2.0 bagaimanapun  memberi semangat bahawa kuasa rakyat masih membara di Malaysia dan  tidak mudah dipadamkan oleh pemerintahan kuku besi.
Seperti mana kata Ambiga “kebenaran akan sentiasa mengatasi kekejaman.” 
No comments:
Post a Comment