Saturday 2 October 2010

Sinar Harian Betulkan Kenyataan Saya.

Kaji semula isu hasil judi

SELAYANG – Kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin mengatakan wang bantuan hasil judi tidak haram, harus dikaji Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ahli Majlis MPS, Dr Abdul Majid Hasan berkata, ini tidak bermakna kenyataan berkenaan diterima bulat-bulat pihaknya apabila menyarankan pendapat itu diteliti ketika d Mesyuarat Penuh MPS September, kelmarin.

Menurutnya, beliau menafikan membuat kenyataan berhubung hasil wang berkenaan dapat membantu menyediakan kemudahan rakyat, manakala pendapatan perjudian kepada rakyat miskin beragama Islam tidak haram.

“Semasa membahaskan isu ini, antara ucapan saya seperti tercatat dalam minit mesyuarat, saya memaklumkan ahli majlis meminta supaya MPS menyediakan senarai kedai diberi permit oleh MPS untuk menjual arak mengikut zon.

“Ini supaya ahli majlis berserta dengan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dapat mengenal pasti kedai yang mempunyai permit dan tanpa permit sebagai langkah kawalan menyeluruh di kawasan MPS dilakukan,” katanya bagi mengulas artikel ‘Mahu MPS kelola lesen arak’, di Sinar Harian 29 Oktober lalu.

Abdul Majid berkata, dalam mesyuarat penuh itu juga, Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Azim selaku pengerusi mesyuarat menyatakan kebimbangannya terhadap pendapatan sumber halal dan haram dalam akaun MPS.

Katanya, untuk itu beliau menegaskan MPS mengeluarkan permit kepada premis menjual minuman keras, di mana dengan kata lain pendapatan sumber halal dan haram dalam MPS sudah berlaku dan MPS juga harus mengkaji kenyataan bekas Mufti Perlis dalam hal seperti ini.

“Jadi, saya berharap kenyataan media menggambarkan seperti ahli majlis dan MPS terlalu kemaruk menambah pendapatan dari lesen arak, dan wang ini digunakan untuk orang Islam yang miskin perlu diperbetulkan.

“Kami berusaha bagi memastikan lesen arak dikawal sebaik mungkin dan penggunaannya dijaga sehingga ia tidak merosakkan keharmonian sosial rakyat dalam kawasan MPS,” tegasnya.

Terdahulu, menurut Abdul Majid, beliau tersentuh apabila isu mengawal kegiatan minuman arak diperjuangkan orang bukan Islam.

Katanya, sebagai orang Islam, arak adalah jelas haram dan berikutan itu apabila terdapat ahli-ahli majlis MPS yang bukan beragama Islam berusaha keras untuk mengawalnya, usaha itu amat disokong.

Dalam Mesyuarat Penuh MPS baru-baru ini, sebahagian ahli majlis mencadangkan supaya pengeluaran lesen minuman keras dikelolakan oleh MPS.

Ia berikutan pengendaliannya dilakukan pihak Pejabat Tanah dan Daerah, sejak dahulu hingga kini dikatakan menyukarkan kerja pemantauan penjualan minuman keras itu kepada orang awam, termasuk oleh penjual tidak berlesen.

Sementara itu, Zainal berkata, pasukan khas berkaitan membabitkan polis, Jabatan Imigresen, Pejabat Daerah dan pihak terlibat akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi memantau isu berkaitan kawalan jualan arak.

Menurutnya, bagaimanapun bagi cadangan supaya MPS mengambil alih lesen jualan arak, ia boleh disemak semula oleh ketetapan pihak Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment