Wednesday 29 September 2010

Perhatian Untuk Sinar Harian


29hb. September 2010

Kepada :

Cik Azimah,

Wartawan Sinar Harian.

Fax: 03-51013338 dan Email: azimah.ghazali@sinarharian.com.my

Tuan,

Perkara: Maklumat yang salah

Adalah saya merujuk kepada akhbar tuan bertarikh 29hb. September muka surat S13 bertajuk “MAHU MPS KELOLA LESEN ARAK”

Saya dengan tegas menafikan ada membuat kenyataan “....sekurang-sekurangnya dapat membantu menampung menyediakan kemudahan kepada rakyat” dan “...bahawa hasil wang daripada pendapatan perjudian kepada rakyat miskin beragama Islam tidak haram”.

Semasa membahaskan isu ini, berikut adalah sedutan ucapan saya:

1. 1. Saya amat tersentuh apabila isu mengawal kegiatan minuman arak diperjuangkan oleh orang yang bukan Islam, bagi kami orang Islam arak adalah jelas haram dan kerana itu apabila ahli-ahli majlis yang bukan beragama Islam berusaha keras untuk mengawalnya maka usaha ini amatlah saya sokong.

2. 2. Mesyuarat penuh sebelum ini sepertimana yang tercatit dalam minit mesyuarat, saya telah memaklumkan bahawa ahli majlis meminta supaya MPS menyediakan senarai kedai-kedai yang diberi permit oleh MPS untuk menjual arak mengikut zon-zon supaya ahli majlis berserta dengan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dapat mengenalpasti kedai-kedai yang ada permit dan tanpa permit sebagai langkah kawalan menyeluruh di kawasan Selayang dilakukan.

Kemudian tuan Yang DiPertua selaku pengerusi mesyuarat menyatakan kebimbangannya terhadap pendapatan sumber yang halal dan haram dalam akaun MPS

3. 3. Saya mempertegaskan bahawa sekarang inipun MPS mengeluarkan permit kepada premis-premis yang menjual minuman keras, dengan kata lain pendapatan sumber halal dan haram dalam MPS sudah berlaku dan MPS juga harus mengkaji kenyataan bekas Mufti Perlis dalam hal seperti ini.

Saya berharap kenyataan akhbar tuan yang menggambarkan bahawa seolah-olah ahli majlis dan MPS terlalu kemaruk untuk menambah pendapatan dari lesen arak dan seolah-olah saya amat berhajat agar wang ini digunakan untuk orang Islam yang miskin amatlah berniat jahat dan perlulah diperbetulkan. Kami berusaha bagi memastikan lesen arak dikawal dan sebaik mungkin penggunaannya dijaga sehinggamana ia tidak merosakan keharmonian sosial rakyat dalam kawasan MPS

Harap perbetulkan kenyataan di atas, sekiranya pembetulan tidak dilakukan dalam tempoh 14 hari dari tarikh di atas saya beserta ahli majlis yang lain berserta MPS akan menimbangkan untuk menyaman akhbar ini.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Abdul Majid Hasan

Ahli Majlis

Majlis Perbandaran Selayang

s.k:

1. Dato’ Zainal Abidin Azim – YDP Majlis Perbandaran Selayang

2. Ahli-ahli Majlis Perbandaran Selayang

3. En. Abdul Razak Ahmad – Pengarah Bah. Pendakwaan MPS

4. Tn. Hj. Mohamad Abdul Rahman – Penyelia DUN Templer

Belanjawan, Cukai Taksiran dan Cheshire Homes

Baru2 ini ahli Majlis buat pertama kalinya terlibat sama dalam penyediaan budget MPS.

Untuk makluman setakad 31hb. Ogos 2010 MPS mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak hampir RM100 juta yang merupakan pencapaian sebanyak 80% dari anggaran pendapatan keseluruhan Majlis. Dari RM100juta pendapatan MPS telah membelanjakan sebanyak RM70juta untuk urusan-urusan MPS. Dengan kata lain MPS mempunyai lebihan surplus sebanyak RM30juta. Jikalah tiada hutang tertunggak sebanyak RM40juta sudah pasti MPS mempunyai kewangan surplus di atas. Ini satu performance yang baik. Tahniah kepada MPS

Semasa pembincangan mengenai kadar cukai taksiran atau cukai pintu, pihak MPS berhasrat untuk mengekalkan kadar yang sedia ada. Yang paling rendah adalah 4% dan yang tertinggi adalah 12% tanpa sebarang perubahan. Saya telah mengemukakan keluhan pendudukan di sekitar Kuang khususnya Kg. Chempedak, Kg. Damai dan Kg. Gombak. AlhamduliLLAH, majlis mesyuarat bersetuju untuk menurunkan kadar berkenaan kepada yang paling rendah iaitu 2%! Saya amat bersyukur kehadrat ALLAH pandangan saya telah diterima-pakai pihak MPS. Rasanya tidaklah sia-sia saya mewakili penduduk sebagai ahli Majlis walaupun saya ditugaskan di Zon 3 Selayang Baru.

4-5-2010


Mesyuarat selanjutnya yang saya hadiri adalah pelaburan dan penswastaan. Salah isu yang melibatkan Zon saya adalah Rumah Amal Cheshirehomes berhampiran dengan pasar lama Selayang. Isunya sudah lama, dimana pihak pengurusan mahu 24unit bangunan kedai dalam tanah miliknya supaya ianya diruntuhkan. Perkara ini telah lama diketengahkan oleh mantan ahli majlis Dato’ Mazlan. Saya telah meminta supaya final touch dibuat dengan memanggil supaya pihak yang terlibat dipanggil untuk mendapat kata putus.

Keputusannya MPS akan merobohkan bangunan-bangunan ini pada pertengahan Oktober ini. Sebarang pampas an akan dibincangkan dengan saya sebagai mewakili ahli majlis.

Friday 17 September 2010

MAIS sila komen

UMNO, Kura-Kura dan Perahu

Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadhan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan Masjid dan Surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran PR. Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya. Menurut mereka lagi, ini dilakukan demi memperolehi undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri. Iaitu demi kuasa, kata mereka lagi, kesucian Islam sanggup digadai sehingga orang bukan Islam dibenarkan masuk kerana Surau dan Masjid. Kehormatan ummat Islam tercemar kerana terpaksa menerima sumbangan wang dari orang bukan Islam dan sebagainya.

Saya tidak berhajat untuk mengulas berkenaan isu bukan Islam memasuki ruang solat di Masjid atau surau, bagaimanapun kepada yang berminat bolehlah mengikuti keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Sehubungan dengan itu, bagi yang mengenali UMNO, segala bentuk dakwaan sedemikian rupa tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat. Bagi yang mengenali peranan Pengarah JAIS dan MAIS sebagai kesinambungan wadah kepuraan UMNO dalam bersandiwara, ianya turut tidak memberikan sebarang kesan. Tetapi bagi yang masih ‘kabur’, saya sajikan beberapa keping gambar yang menjelaskan sifat UMNO yang berkura-kura berpura-pura, pembohong dan memutar-belit fakta tanpa syak lagi.

Gambar 1 & 2 :- Wakil rakyat (ADUN) UMNO memberi tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid FELDA Gedangsa. Adakah beliau mempunyai tauliah? Tidak pula ditimbulkan persoalan penderhakaan kepada DYMM Sultan Selangor oleh Pengarah JAIS.





Gambar 3 :- Ahli Parlimen Hulu Selangor bersama ADUN UMNO menyerahkan sumbangan cek di dalam Masjid Sg. Tengi Selatan. Semua tersenyum lebar dan tiada pula mendakwa di hina atau Masjid tercemar. Ahli Parlimen berkopiah yang telah mengeluarkan fatwa ‘penghinaan’ terhadap ummat Islam kerana terpaksa menerima sumbangan dari orang kafir, pun mendiamkan diri - mungkin kerana sibuk menikmati juadah raya. Saya juga difahamkan oleh seorang sahabat bahawa ada yang berkopiah kerana hendak bersikap tawaddu’, tetapi ada yang berkopiah kerana hendak menyorok ‘bald spot’. WaLlahu 'Alam.



Gambar 4 :- Pengerusi MAIS bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, yang digelar ‘Ustadz Kamal’ oleh beberapa perayu undi UMNO semasa PR kecil Hulu Selangor, hadir bersama dalam majlis gotong royong di perkarangan Masjid FELDA Soeharto. ‘Ustadz’ berkenaan memakai baju berlambang dacing walaupun di dalam kawasan Masjid. Pengerusi MAIS tidak pula memarahi beliau kerana membawa politik ke Masjid atau menanyakan samaada beliau telah bermandi hadas dengan niat dan cara yang betul.



Gambar 5 :- Jika tidak nampak lambang Dacing dalam gambar 4, jelas sekali dalam gambar 5 ini. Lebih hebat, ‘Ustadz Kamal’ bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta. Ke mana perginya Ahli Parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya ummat Islam telah dihina?



Inilah yang dikatakan sebagai budaya pembohongan dan kepura-puraan mainan UMNO BN. Jika isu berhubung agama Islam pun mereka sanggup putar-belit demi menjaga kepentingan mereka, apatah lagi persoalan pengurusan kekayaan Negara. Ada yang memberitahu saya bahawa Khir Toyo sudah tidak beminat menjadi MB Selangor lagi. Hah! Sememangnyalah begitu! Setelah melihat pendekatan MB dan kerajaan negeri sekarang, pasti beliau menyedari jawatan MB tidak selumayan ketika UMNO bermaharajalela dahulu. Tugas dan kerja pula bertambah berat, pulangan pula hanya tinggal sedikit, tiada lagi ‘imbuhan’ sampingan dan yang dapat dikaut dari sisi kiri dan kanan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Wednesday 15 September 2010

Empat suspek kes Sosilawati disyaki bunuh kakitangan MPS


KUALA LUMPUR, 15 Sept — Empat daripada lapan suspek kes pembunuhan jutawan produk kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain turut disyaki terlibat dengan pembunuhan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) awal Mac lalu.

Sehubungan itu, empat suspek tersebut yang ditahan oleh polis Bukit Aman diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat dalam kes pembunuhan K. Celladuran, 50, yang bekerja di Unit Perancangan Setinggan MPS.

Celladuran mati ditembak oleh dua lelaki kira-kira pukul 7.20 pagi ketika keluar dari rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru dekat sini untuk ke pejabat.

Polis dalam kenyataan sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Celladuran adalah individu sama terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan Puchong berdekatan IOI Mall dekat sini pada 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, keempat-empat suspek itu diserahkan kepada pihaknya semalam.

“Sama ada benar mereka adalah suspek yang dikehendaki dalam kes bunuh Celladuran belum dapat dipastikan kerana kita masih jalankan siasatan,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dipetik berkata tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Celladuran adalah individu sama terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan Puchong.

Menurutnya, kemungkinan itu wujud berdasarkan modus operandi pembunuhan yang sama dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Berikutan itu, kata Khalid, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat secara terperinci dua kes pembunuhan itu.

Katanya, sebanyak 15 keterangan telah diambil daripada saksi-saksi kes pertama di Jalan Puchong manakala 10 keterangan diambil bagi kes Celladuran.

Dalam pada itu, kelapan-lapan suspek tersebut termasuk seorang peguam bergelar Datuk berusia 41 tahun dan adiknya turut dikaitkan dengan kes kehilangan empat lagi mangsa lain.

Empat mangsa lain yang dilaporkan hilang dan dipercayai dibunuh menggunakan modus operandi yang sama dengan pembunuhan Sosilawati ialah seorang gadis berusia 19 tahun; ahli perniagaan dari Chennai, India, S. Usharani, 24; dan dua ahli perniagaan berketurunan Melayu dari Kuala Lumpur.

Sosilawati, 47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.

Pada Sabtu lalu, polis mengesahkan berdasarkan pengakuan empat suspek, keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting di Selangor.
-malaysianinsider-

Sunday 5 September 2010

Kebakaran di Selayang Baru

Bangunan ini terletak di no. 12 Jalan 22 Selayang Baru. Rumah ini telah diwakafkan kepada MAIS dan didiami oleh 6 buah keluarga. Semasa kejadian kebanyakan penghuni sedang berada di surau Mustaqeem yang berdekatan mengerjakan solat terawikh. Kebakaran berpunca dari litar pintas.


3 unit rumah di bahagian atas terbakar hangus tanpa sehelai kain pun dapat diselamatkan. AlhamduliLLAH tidak melibatkan kematian. Seunit rumah di bahagian bawah mengalami sedikit kerosakan apabila bumbung rumah jatuh sampai ke rumah bahagian bawah.


Dewan Muslimat PAS Selangor dan ahli majlis menyampaikan sedikit sumbangan. Jika ada yang ingin membantu sila hubungi saya di 012-6447899. Mudah2an keluarga-keluarga yang terlibat dapat bersabar menempuh dugaan ALLAH.

Saturday 4 September 2010

HIMPUNAN AHLI MAJLIS SELANGOR (HAMAS)

HIMPUNAN AHLI MAJLIS SELANGOR (HAMAS)

A. PENDAHULUAN

Pakatan Rakyat (PR) telah menerajui negeri Selangor DE bermula pada bulan April 2008 yang lalu. Setelah lebih 2 tahun memerintah sebarang kekuatan/kejayaan mahupun kelemahan/kegagalan pemerintah sudah mula dicerap oleh segenap rakyat dalam negeri ini.

Di antara kejayaan atau kegagalan PR dalam mentadbir negeri ini ia banyak bergantung diperingkat kepimpinan akar-umbi seperti Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP). Sekiranya JKKK yang diterajui oleh ketua kampong dan JKP yang diterajui oleh Ahli Majlis berjaya memainkan peranan dan tugasan mereka masing-masing dengan baik, rakyat akan tetap menyokong PR dan sebaliknya.

Peranan Ahli Majlis yang mengetuai JKP banyak bergantung kepada perlaksanaan tanggungjawab masing-masing di setiap Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT). Adakalanya kekangan dari PBT menyebabkan Ahli Majlis gagal dilihat sebagai memacu kehendak rakyat yang mahukan .

Adalah difikirkan perlu diwujudkan satu kesatuan yang bersifat saling membantu dan bekerjasama semua ahli majlis dari semua PBT bagi memastikan semua ahli majlis berjaya memainkan peranannya dalam usaha melicinkan kerja-kerja sebagai ahli majlis.

Oleh yang demikaian adalah dicadangkan penubuhan Himpunan Ahli Majlis Selangor atau ringkasnya HAMAS.

B. OBJEKTIF PENUBUHAN

1. Sebagai saluran bertukar-tukar pendapat di antara Ahli Majlis dari PBT-PBT yang berlainan

2. Mengkaji isu-isu semasa yang menyentuh peranan Ahli Majlis

3. Membuat cadangan-cadangan bertujuan menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh Ahli Majlis

4. Menyatakan pendirian bersama yang menyentuh peranan Ahli Majlis dan keberkesanan serta kecekapan urus-tadbir PR Selangor

C. CADANGAN MODUS OPERANDI HAMAS

1. HAMAS diterajui oleh sebuah sekreteriat yang terdiri dari seorang pengerusi, setiausaha dan bendahari serta 36 orang ahli jawatankuasa dimana setiap PBT diwakili oleh 3 ahli majlis dari PAS, PKR dan DAP

2. HAMAS akan mengadakan pertemuan setiap 2 bulan sekali bagi membincangkan isu-isu bersama.

3. HAMAS akan membuat kenyataan ataupun cadangan setiap kali selesai pertemuan di adakan

4. HAMAS juga menjaga kebajikan semua Ahli Majlis melalui program-progaram yang dijalankan.

D. TINDAKAN

1. Adalah dicadangkan Ahli Majlis dari MPS mempelopori penubuhan HAMAS ini dengan menubuhkan Jawatankuasa penubuhan dengan melantik 3 orang ahli Majlis dari PAS, PKR dan DAP untuk menerajui penubuhan HAMAS

2. Setiap AJK ini menghubungi rakan-rakan ahli Majlis di PBT-PBT yang lain yang juga dikehendaki menamakan 3 wakil mereka.

3. Setelah kesemua wakil ini dikenalpasti maka mesyuarat penubuhan HAMAS akan dilaksanakan dengan melantik penjawat-penjawat sekreteriat.

4. Adalah dicadangkan HAMAS mengadakan perhimpunan Ahli Majlis setelah penubuhannya sebagai tanda kelahiran HAMAS dan juga ikatan ukhuwah dikalangan ahli Majlis.