KUALA LUMPUR, 15 Sept —  Empat daripada lapan suspek kes pembunuhan jutawan produk kosmetik,  Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain turut disyaki terlibat  dengan pembunuhan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)  awal Mac lalu.
Sehubungan  itu, empat suspek tersebut yang ditahan oleh polis Bukit Aman  diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat  dalam kes pembunuhan K. Celladuran, 50, yang bekerja di Unit Perancangan  Setinggan MPS.
Celladuran  mati ditembak oleh dua lelaki kira-kira pukul 7.20 pagi ketika keluar  dari rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru dekat sini untuk ke pejabat.
Polis  dalam kenyataan sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan suspek yang  menembak Celladuran adalah individu sama terlibat dalam kes tembak  seorang lelaki di Jalan Puchong berdekatan IOI Mall dekat sini pada 4  Mac lalu.
Ketua  Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata,  keempat-empat suspek itu diserahkan kepada pihaknya semalam.
“Sama  ada benar mereka adalah suspek yang dikehendaki dalam kes bunuh  Celladuran belum dapat dipastikan kerana kita masih jalankan siasatan,”  kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Pada  11 Mac lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dipetik  berkata tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Celladuran adalah  individu sama terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan  Puchong.
Menurutnya, kemungkinan itu wujud berdasarkan modus operandi pembunuhan yang sama dalam kedua-dua kejadian tersebut.
Berikutan itu, kata Khalid, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat secara terperinci dua kes pembunuhan itu.
Katanya,  sebanyak 15 keterangan telah diambil daripada saksi-saksi kes pertama  di Jalan Puchong manakala 10 keterangan diambil bagi kes Celladuran.
Dalam  pada itu, kelapan-lapan suspek tersebut termasuk seorang peguam  bergelar Datuk berusia 41 tahun dan adiknya turut dikaitkan dengan kes  kehilangan empat lagi mangsa lain.
Empat  mangsa lain yang dilaporkan hilang dan dipercayai dibunuh menggunakan  modus operandi yang sama dengan pembunuhan Sosilawati ialah seorang  gadis berusia 19 tahun; ahli perniagaan dari Chennai, India, S.  Usharani, 24; dan dua ahli perniagaan berketurunan Melayu dari Kuala  Lumpur.
Sosilawati,  47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam  peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham  Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Pada  Sabtu lalu, polis mengesahkan berdasarkan pengakuan empat suspek,  keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan  abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting di  Selangor.
-malaysianinsider-
No comments:
Post a Comment