Rakyat, Bukan Syarikat Konsesi, Akan Untung Jika Kerajaan Selangor Ambil Alih Pengurusan Air
SHAH  ALAM: Matlamat utama hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam  mengambilalih pengurusan industri air negeri adalah amat jelas iaitu  memberi perkhidmatan yang lebih efisyen dengan harga yang rendah  disamping meneruskan perkhidmatan air percuma sebanyak 20 meter padu  pertama.
Pendirian ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Dato  Menteri Besar Selangor yang juga telah menerangkan berulang kali bahawa  Kerajaan Negeri bersedia mengambil-alih aset air dari semua empat  syarikat konsesi air dengan harga yang munasabah dan menguntung  kedua-dua pihak iaitu rakyat dan syarikat-syarikat yang berkenaan.
Kenyataan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang  menuduh Kerajaan Negeri Selangor hanya ingin mengaut keuntungan tanpa  menghiraukan masa depan rakyat jelas amat dangkal dan menunjukkan  pemikiran yang cetek.
Jika ADUN Batang Kali mengikuti penerangan  isu penstrukturan semula air dengan lebih teliti, beliau akan tahu  bahawa jika Kerajaan Negeri mengurus perkhidmatan air di Selangor, tarif  air akan dapat diturunkan sebanyak 10% dalam tahun 2009 dan 20% pada  tahun 2011 seterusnya sebanyak 25% pada tahun 2013.
Jika adapun  pihak yang mengaut keuntungan, ianya adalah rakyat dan bukan  individu-individu atau syarikat swasta seperti mana yang berlaku  sekarang.
Namun yang jelas sekarang, pendapat pemimpin UMNO dalam  isu air ini amat konsisten iaitu menyebelahi syarikat konsesi.  Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat  kenyataan bahawa tawaran harga kepada syarikat konsesi ini tidak  munasabah.
Pendirian Najib dalam isu ini juga tidak menggambarkan  konsep “1 Malaysia” yang dikatakan sebagai satu konsep menyeru kepada  rakyat bersatu membangun Malaysia. Mengapa Najib tidak bersatu bersama  Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan usaha supaya rakyat mendapat  keuntungan dari perkhidmatan air?
Kami menyeru kepada Perdana  Menteri dan semua pemimpin UMNO untuk mengenepikan kepentingan politik  dan bersama pihak Kerajaan Negeri dalam isu ini demi kebajikan penduduk  Negeri Selangor sejajar dengan laungannya untuk konsep “1 Malaysia”.   Jika tidak, konsep “1 Malaysia” ini jelas hanya sekadar retorik  semata-mata bagi meraih sokongan rakyat kembali kepada UMNO dan Barisan  Nasional.
NIK NAZMI NIK AHMAD
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR 
No comments:
Post a Comment