PAS Selangor hari ini mendesak agar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menggantikan segera Othman Omar yang didakwa gagal menjalankan tangungjawabnya sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Desakan itu turut melibatkan dakwaan bahawa Othman terlibat dengan amalan salah laku serta penyalahgunaan kuasa terhadap pengurusan termasuklah kewangan anak syarikat kerajaan negeri itu.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Dr. Rosli Che Mat dalam satu sidang media di sini menyatakan dakwaan itu dibuat hasil pendedahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dalam satu perbahasan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.
Dakwanya, salah laku Othman itu dikatakan berlaku dalam soal pengambilan pekerja yang mana dikatakan melibatkan individu yang merupakan kenalan Pengurus Besar PKNS itu dalam bentuk jawatan kontrak termasuklah pembayaran gaji yang tinggi daripada kakitangan PKNS sendiri.
"Maka kita mendesak agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar meniliti dakwaan ini termasuklah menjalankan siasatan yang sewajarnya.
"Sekiranya siasatan mendapati dakwaan ini benar, Menteri Besar perlu mengambil tindakan segera agar PKNS bebas daripada sebarang amalan yang boleh merosakkan institusi ini," katanya di Dewan Annex, Bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Selain itu, Dr. Rosli yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat turut mendakwa selain melantik kenalan untuk mengisi jawatan anak syarikat itu, Othman juga dikatakan turut melakukan perbelanjaan yang tidak munasabah apabila mengarahkan PKNS menaja perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha 10 Oktober lalu.
Perbelanjaan tersebut turut melibatkan perbelanjaan kehadiran angkasawan daripada luar negara ke majlis perkahwinan berkenaan yang memakan kos sebanyak RM520,000.
Selain dakwaan salahguna kewangan, Othman sebelum ini turut dikaitkan dengan dakwaan tidak selari dengan matlamat penubuhan PKNS apabila anak syarikat kerajaan negeri melaksanakan projek mewah Datuk Jelatek yang disifatkan tidak memberikan keuntungan dan manfaat kepada usaha meningatkan sosio-ekonomi bumiputera di Selangor.
Ini kerana, projek yang bernilai RM1.2 bilion itu merupakan projek mewah yang nilainya adalah tinggi iaitu diluar kemampuan kewangan golongan bumiputera.
Dalam pada itu, Dr. Rosli menyatakan pihaknya juga mahu kerajaan negeri mengambil tindakan yang sama terhadap Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd.Arif Abd Rahman apabila didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pemberian kontrak penyelengaraan jalan raya di negeri itu.
Dakwanya, Mohd. Arif dikatakan melantik kontraktor-kontraktor pilihannya untuk kerja membina dan membaiki longkang-longkang menggunakan peruntukkan Sistem Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Susulan kedua-dua dakwaan berkenaan (Othman dan Mohd. Arif), Dr. Rosli menyatakan pihaknya telah mengemukakan memorandum kepada Abdul khalid dan Speaker DUN, Teng Chang Khim agar siasatan dilakukan selain mengenakan tindakan yang sewajarnya.-10/11/2010
No comments:
Post a Comment