Wednesday 17 November 2010

Prihatin nasib keluarga malang



Prihatin nasib keluarga malang

SELAYANG BARU – Keperitan hidup membesarkan lima anak berbekalkan RM700 sebulan hasil pendapatan suami yang bekerja sebagai mekanik menguji ketabahan seorang suri rumah.

Sahrulbariah Aziz, 32, berkata, kehidupan keluarganya juga berdepan kesempitan memandangkan pendapatan suaminya itu tidak menentu dan pernah langsung tidak bergaji kerana ketiadaan pelanggan.

“Bayaran rumah sewa RM280 sebulan, belum termasuk belanja anak dan tambang bas ke sekolah. Anak saya berumur antara lima hingga 11 tahun,” katanya semasa pertemuan bersama Sinar Harian, di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selayang Baru, di sini.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 3, Dr Abdul Majid Hasan, Pengerusi JKKK Selayang Baru, Mohd Dzulkifly Abdul Hamid dan Pengerusi JKKK Kampung Mahkota, Zainal Abidin Ahmad Desa.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor, Norliza Namin.

Dalam pada itu, menurut Sahrulbariah yang menetap di Apartmen Julia, Kampung Bendahara, selain ibu, dia perlu membesarkan dua lagi anak angkat berusia tujuh dan 14 tahun, menggunakan pendapatan terhad ada.

Katanya, dia paling mengharapkan bantuan sama disambung semula bagi meringankan beban kerana buat masa ini bayaran penyelenggaraan rumah sebanyak RM20 sebulan antara tertunggak kerana menghadapi masalah kewangan sejak beberapa bulan lalu.

“Sumber kewangan terhad juga digunakan menampung makan dan minum anak angkat saya yang juga anak yatim,” katanya.

Sahrulbariah berkata, nasi goreng menjadi hidangan rutin keluarganya dalam usaha menjimatkan perbelanjaan harian.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Noraini Abdul Rahman, 47, yang berpendapatan RM50 sehari mengharapkan usahanya menjalan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi lemak mampu menampung perbelanjaan enam anaknya masih bersekolah.

“Enam anak saya masih bersekolah berumur enam, sembilan, 12, 14, 15 dan 17 tahun. Wang berniaga nasi lemak itulah digunakan untuk belanja sekolah anak dan perbelanjaan mereka.

“Wang itu juga perlu membayar bil air dan elektrik selain, bayaran beli rumah diduduki sekarang iaitu RM126 sebulan,” katanya.

Noraini berkata, dia juga mengambil upah memperbaiki seluar jeans dan pakaian, secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

Seorang lagi ibu tunggal, Fauziah Yusof, 53, dari Kampung Cempedak, Kuang pula berkata, pendapatannya sebagi pengasuh kanak-kanak di rumah sendiri kira-kira RM400 sebulan juga terhad untuk menampung kehidupan.

Katanya, walaupun mempunyai tiga anak sudah tamat persekolahan, tetapi ada antaranya baru bekerja, malahan gaji bulanan perlu digunakan untuk menampung keperluan sendiri.

Bagi warga emas, Saadiah Ahmad, 60, juga dari Kuang, pendapatan tidak daripada upah menjahit secara kecil-kecilan digunakan untuk menampung kehidupannya .

Mempunyai dua anak, katanya, pendapatan menjahit diperolehnya tidak menentu sekitar RM300 sebulan, manakala anak pula perlu menampung kehidupan sendiri.

No comments:

Post a Comment