Friday 12 November 2010

Premis sembelih ayam diserbu


SELAYANG – Bertindak atas aduan, premis menyembelih dan memproses ayam meragukan sekitar Pasar Borong Selayang, di sini, diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi semalam.

Dalam operasi dari jam 12 tengah malam hingga lima pagi itu, lima premis diserbu, manakala lapan kompaun berjumlah RM8,000 dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelesenan MPS.

Berikutan tambahan bangunan tanpa kebenaran, satu premis di Pasar Borong Lama Selayang diarah tutup sehingga 19 November ini dan dikompaun RM1,000, mengikut Undang-undang Kecil Perniagaan dan Perindustrian MPS.

Antara kesalahan lain, pekerja yang tidak mendapatkan suntikan Typoid (kepialu) bagi imunisasi demam kepialu didenda mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Pengendali Makanan, selain kompaun kerana membuang sisa premis tidak dibuang mengikut saluran betul, masing-masing didenda RM1,000.

Semasa operasi itu, pekerja sebuah premis menjalankan perniagaan sama di kawasan berhampiran sempat mengunci premis dan terus melarikan diri.

Ahli Majlis MPS, Dr Abdul Majid Hasan berkata, daripada maklumat diterima, penduduk meragui pekerja bukan warganegara di premis itu melakukan proses penyembelihan.

“Sepatutnya bukan warganegara tidak boleh melakukan kerja penyembelihan ayam kerana tukang sembelih perlu mengikuti kursus. Apabila suruh mereka mengucap, bunyinya pun berbeza, mungkin kerana mazhab lain.

“Dalam operasi ini, kami dapati tahap kebersihan premis sembelihan ayam kurang memuaskan,” katanya kepada pemberita yang menyertai operasi pemeriksaan premis jual ayam di Pasar Tani/Pasar Borong Ayam, di sini.

Operasi yang diketuai Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainol Abidin turut disertai pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dan polis.

Dalam pada itu, mengulas aspek kebersihan diabaikan, Abdul Majid berkata, sepatutnya sisa buangan, termasuk darah ayam tidak dibiarkan terus masuk ke longkang, tetapi perlu ditapis atau ditempatkan ke saluran betul.

Difahamkan, kesemua pekerja warga asing terdiri daripada warganegara Myanmar dan Bangladesh di premis diserbu tidak mendapatkan suntikan kepialu.

Sinar Harian 13hb. November 2010

No comments:

Post a Comment