Thursday 25 November 2010

5hb. Disember Tarikh Keramat

Pada July 2006, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA), 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 telah diperkenalkan dan diluluskan oleh Parlimen bertujuan menstruktur semula pengurusan air dan menguatkuasakan pengurusaan industri air bagi seluruh Malaysia dengan diletakkan sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan. Dengan kata lain berlaku pemilikan semula industri air sekaligus pengakuan bahawa penswastaan air telah gagal dan keajaan akan membuat ‘bailout mega’ kepada konsesi air.

SPAN sebagai badan mengawal-atur, memantau dan mengawalselia perkhidmatan air, bertanggungjawab menguatkuasa undang-undang berhubungan dengan perkhidmatan air dan pembentungan. Peranan utama SPAN adalah untuk mengeluarkan lesen dan menasihat Menteri dalam urusan penetapan tarif dan mekanisme berkesan untuk perlaksanaan tarif.
WSIA melalui sebuah syarikat pengurusan airnya Perkhidmatan Aset Air Berhad, PAAB akan memiliki kembali seluruh (membeli) aset-aset pihak swasta and negeri (pembentungan, loji rawatan dll) dan kemudian menyewakannya atau memajaknya kembali kepada pihak negeri atau syarikat swasta dan diberi lesen untuk mengendali seluruh pengurusan industri air termasuk pengagihan pembekalan air di negeri-negeri.

Kesemua asset-aset air di Semenanjung Malaysia akan dipindah-milik kepada PAAB sebelum hujung tahun 2009 dengan anggaran pembelian semula oleh kerajaan dengan harga RM15bn. Aset-aset air dipajak atau disewa (lease) kepada syarikat swasta dan kerajaan negeri yang akan diberikan lesen untuk beroperasi. PAAB juga bertangungjawab untuk membantu mendapatkan dana kepada pihak yang mengoperasikan industri air khususnya bagi membiayai perbelanjaan capital (capex).

Sehingga dewasa ini, PAAB telah mencapai dua pengambilalihan asset dan melesen dua kerajaan negeri iaitu Melaka dan Negeri Sembilan dengan jumlah pembelian RM2.1bn.
Dengan dua negeri (2) yang telah ditawan, PAAB punya sembilan (9) lagi yang perlu dilakukan perundingan dan pengambilalihan.

Namun berdepan dengan situasi di Selangor, ia jelasnya tidak semudah dengan 2 negeri di bawah BN. Apakah kerana Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) ataukah banyak lagi perkara yang rakyat dan umum tidak tahu atau lebih tepat lagi tidak mahu diberitahu? Penulisan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada rakyat banyak perkara yang tidak dilaporkan oleh media kawalan BN.

Penswastaan air Selangor bermula pada tahun 1996 di bawah Pemerintahan Tun Mahathir. Konsesi yang cukup mewah (profitable) dianugerahkan kepada pihak yang punya hubungan rapat dengan kuasa Eksekutif (di baca kroni) tetapi tidak punya kepakaran jauh lagi mempunyai trak rekod yang baik tentang pengendalain industri.

Akibatnya 1.5 juta rakyat di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya menghadapi pelbagai masalah termasuk kualiti air, kelewatan mendapat perkhidmatan yang, denda penyambungan yang tinggi (RM50 selepas berbanding RM10 sebelum penswastaan) serta tariff yang tinggi. Pemilik konsesi air turut mendapat pinjaman dan geran dari kerajaan.

Kini, 4 pemilik konsesi menghadapi kekurangan aliran tunai dan menanggung hutang sejumlah RM6.4 bn; Syabas sebanyak RM2.9 bn, Puncak Niaga RM1.3 bn, Splash sebanyak RM1.6 bn dan ABASS masih berhutang sebanyak RM600 juta. Justeru itu, sukar untuk ditolak dakwaan bahawa setelah kerajaan memberikan konsesi yang lumayan dalam pusingan pertama dulu semasa penswastaan, kini kerajaan akan lakukan sekali lagi ’pemberian mewah’ kepada ’kroni mereka’ dalam pusingan kedua penstrukturan industri air.

Inilah amalan urus-tadbir korporat yang sangat berat sebelah sekaligus merosakkan pengurusan khazanah negara, di mana keuntungan diswastakan sementara kerugian dihakmilikkan negara dan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.
Bagi mengingatkan proses penstrukturan semula air di Selangor, Kerajaan Pusat telah mengizinkan Kerajaan Selangor bagi memulakan proses perundingan pembelian semula asset-aset air milik 4 konsesi air di Selangor yang kemudianya akan dikonsolidasi untuk dijual kepada PAAB. Aset-aset ini akan dibeli atas dasar jual-beli yang saling redha (willing-buyer-willing seller).

Sebuah Panel Perunding telah ditubuhkan oleh kerajaan Selangor bagi tujuan membuat penaksiran seluruh asset-aset air pemegang 4 konsesi air (valuation of assets). Satu tawaran berjumlah RM5.7bn telah dimajukan kepada kesemua pemilik konsesi pada 13 hb Februari, 2009. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) ditawar RM2.0 bn. PuncakNiaga Holdings’s melalui syarikatnya PNSB dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang dimilikki 70% ditawarkan sejumlah RM3.1bn. Selebihnya adalah bayaran kepada Konsortium ABASS Sdn Bhd. Kerajaan Selangor sendiri memilikki lebih dari 80 peratus asset-aset air di Selangor.

Kerajaan Selangor meyakini bahawa tawaran tersebut adalah menasabah dan mengambil kira segala terma dan syarat perjanjian konsesi dahulu. Tawaran perolehan dibuat kerajaan negeri ini telah mengikut satu metodologi penilaian berdasarkan nilai asset (asset value) tolak segala penyusutan nilai (depreciation) sehingga tarikh Disember 2007.

Umum perlu dimaklum bahawa Kerajaan Selangor terkejut dengan tawaran balas yang memintas usaha mereka, apabila SPAN melalui PAAB ingin memulakan perundingan langsung dengan pihak konsesi air pada tarikh 18hb Februari. Lebih malang lagi kerajaan negeri dimaklumkan bahawa jumlah harga yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Pusat dikatakan adalah sebanyak RM21bn.

Apakah keseluruhan penstrukturan ini akan meletakkan akhirnya rakyat dan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terbeban dengan tariff yang tinggi nanti? Rakyat Pulau Pinang kini di kenakan tariff sebanyak RM0.37 setiap meter kubik sementara di Selangor pengguna di kenakan RM0.77 setiap meter bubik. Kerajaan Selangor berazam untuk menurunkan tariff ini sebanyak 10% tahun 2009 kepada RM0.69 dan seterusnya 20% dalam tahun 2011 dan 25% dalam tahun 2013. Dasar membekalkan air percuma 20 meter kubik akan diteruskan.

Apakah Kerajaan Persekutuan akhirnya akan memberikan lesen kepada pihak swasta, samada Syabas atau Puncak Niaga untuk mengurus seluruh industri air di Selangor ini? Apakah Kerajaan Selangor akan dipinggirkan?

Apakah penstrukturan semula air ini akan menyaksikan rakyat terus dibeban dengan tariff yang tinggi dan bayaran yang mewah diberikan kepada konsesi yang dulunya telah pun mendapat laba yang besar?

Apakah ini caranya supaya Puncak atau Syabas dapat membayar CEOnya dengan gaji berjumlah RM5.1juta setahun atau RM700,000 sebulan seperti yang didedahkan oleh media baru-baru ini?

Apakah ini caranya Kerajaan Umno/BN mahu ’menghukum’ segala salahlaku Syabas dengan segala kemungkiran seperti melakukan lebih dari 70% tender mereka secara tidak tender terbuka, berlawanan dengan perjanjian konsesi, percanggahan nilai kontrak sebanyak RM325 juta semasa pengauditan, pengubahsuaian melebihi had sebanyak RM23.2 juta dari yang dipersetujui kerajaan Pusat?

Cukuplah dengan penswastaan air yang gagal pada pusingan yang pertama, seperti kegagalan penswastaan IWK, MAS Putra-Star LRT dll. Namun seandainya Kerajaan Pusat mahu juga meneruskan urus-tadbir buruk ini dan meneruskan pendirian untuk ‘menghadiahkan’ pihak swasta lesen mengurus air di Selangor ini, maka tunggulah datang masanya apabila rakyat pula akan membuat hukuman muktamad seperti yang disaksikan dalam tsunami politik yang melanda mereka dan seterusnya pada P/raya kecil di Permatang Pauh, di Kuala Terengganu dan sedikit waktu lagi di 3 Bukit Pertarungan!

Akhirnya rakyat akan menghukum mereka di PRU ke-13 secara pukulan maut!

Dr Dzulkefly Ahmad,
MP Kuala Selangor dan Ahli Panel Review Air Selangor. | |

2 comments:

  1. Tahniah kepada kesungguhan kerajaan Selangor.

    Saya ingin bertanya,apakah bukti yang mengatakan bahawa Puncak tidak memiliki keupayaan dan kepakaran pengurusan air sehingga Dr Dzulkefly sanggup mendakwa bahawa ia diberikan kepada kroni? Adakah YB Kuala Selangor jurusan toxitation yang bercakap soal ekonomi ini mempunyai latar belakang ekonomi yang baik?

    Semestinya Dr Dzulkefly juga belajar ekonomi juga kan? Begitu juga Puncak yang outsource kepakaran daripada luar dan melantik pakar-pakar pengurusan air untuk memantapkan Puncak dan SYABAS sendiri.

    Kedua, saya ingin meminta penjelasan, adakah wajar tawaran RM3.1 bilion diberikan kepada PNSB dan SYABAS yang memiliki aset yang besar dan annual turn over yang tinggi? Berapa pula PR Selangor beli hutang TALAM pula yang tidak tahu pun berapa pula keuntungan yang diraih oleh PR Selangor selepas ini.

    ReplyDelete
  2. Bilalah agaknya penstrukturan air ni nak selesai. Kerajaan PR Selangor tak perlu buat roadshow besar-besaran nak buat penstrukturan air ni. Buat je keje tu sampai berjaya.

    Ini tidak, dok kempen seluruh Selangor kerja tak jalan2 lagi..Lembab bertindak akhirnya menjadi punca besar kelemahan Khalid terutamanya apabila PR gagal di Hulu Selangor.

    Aku risau klu lembab selesai, korang jgn nak melalak masa kempen PRU nanti. Aku benci dengan politiking berlebih-lebihan.

    ReplyDelete